Banner Portal Rasmi SPA
garis
Laman Utama > Soalan Lazim (FAQ) > Urusan Pengambilan > Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL)/Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB)
 
Dengar Dengar        
Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL)/
Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB)
 
1. Bagaimana saya ingin mengemaskini pendaftaran saya?
Setelah calon berjaya mempunyai ID selepas proses pendaftaran, pemohon termasuklah dari kategori Pegawai Sedang Berkhidmat/Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) boleh mengemaskini semua data permohonan pendaftaran pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu menghubungi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.
 
 
2. Mengapa saya perlu memperbaharui pendaftaran?
Setiap pendaftaran perlu diperbaharui dengan menggunakan ID yang telah diberikan walaupun pemohon tidak pernah dipanggil peperiksaan atau temu duga dalam tempoh 5 tahun. Ini membolehkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia mendapatkan serta menyimpan maklumat terkini pemohon yang benar-benar berminat di dalam bank data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Selain itu, ia juga mengelakkan pemohon terlepas peluang untuk dipertimbangkan panggilan temuduga disebabkan tempoh sah laku pendaftaran yang telah luput selepas tempoh 5 tahun. Bagi pemohon Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) dan Pegawai Sedang Berkhidmat, pembaharuan pendaftaran juga perlu dilakukan sendiri dengan mendapatkan ID terlebih dahulu di Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i).
 
 
3. Bolehkah Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB)/Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) memohon jawatan secara online?
Pegawai Sedang Berkhidmat / Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) kini perlu memohon jawatan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia secara online. Calon Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) perlu disahkan dalam jawatan sekarang sebelum membuat permohonan jawatan baru. Sekiranya berjaya dipanggil temu duga, pegawai berkenaan hendaklah membawa surat pengesahan Ketua Jabatan, Ringkasan Kenyataan Perkhidmatan iaitu Lampiran D yang boleh dimuat turun dalam Portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia serta Laporan Penilaian Prestasi Tahunan terkini.
 
 
4. Apakah keistimewaan yang dinikmati oleh calon Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) atau Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB)?
Pemohon Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) yang telah memenuhi syarat kenaikan pangkat secara lantikan dalam skim perkhidmatan yang dipohon serta memenuhi keperluan Kementerian/Jabatan akan dipertimbangkan panggilan temu duga apabila wujud kekosongan jawatan tersebut. Pegawai Sedang Berkhidmat pula (iaitu selain dari calon Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) akan melalui proses tapisan yang sama dengan pemohon yang masih belum berkhidmat dengan kerajaan. Namun, semasa ditemu duga ketiga-tiga kumpulan pemohon ini perlu bersaing tanpa sebarang keistimewaan atau kelonggaran kerana pemilihan akan dibuat berdasarkan merit.
 
5. Adakah benar calon Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) dan Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB) tidak diberikan keutamaan dalam urusan pengambilan?

SPA sentiasa menyambut baik hasrat dan dasar kerajaan untuk memberi kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai–pegawai di peringkat sokongan/pelaksana meningkat ke peringkat yang lebih tinggi. Pada tahun 2009, kerajaan telah bersetuju supaya SPA menggunakan kaedah MyRecruitment bagi semua urusan pengambilan  dalam perkhidmatan awam.  MyRecruitment adalah satu kaedah profiling di mana setiap calon perlu melalui 4 peringkat saringan iaitu tapisan/shortlisting,  peperiksaan,  Assessment Centre (AC) dan temu duga. Calon Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) dan Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB) diberikan beberapa kelonggaran/pengecualian iaitu di peringkat tapisan/shortlisting  calon KPSL dan PSB dikenakan tapisan yang sangat minima atau tidak dikenakan tapisan langsung sekiranya  calon mempunyai kelayakan seperti yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan yang dipohon. Calon KPSL juga dikecualikan dari menduduki peperiksaan dan mereka yang melepasi tapisan akan terus ke AC sebelum dipanggil temu duga. Walau bagaimanapun, ada skim-skim tertentu yang tidak diberi pengecualian kepada KPSL/PSB dan perlu melalui proses yang ditetapkan.

Kebiasaannya Lembaga Temu Duga juga mempertimbangkan calon-calon yang terdiri dari KPSL dan PSB untuk  jawatan yang lebih tinggi dengan mengambilkira tempoh perkhidmatan serta kelayakan tertinggi yang diperolehi.  SPA tidak boleh menetapkan sebarang kuota untuk KPSL/PSB kerana contohnya, walaupun kuota telah ditetapkan sebanyak 30%, mungkin calon yang dilantik adalah 60% atau lebih dan adakalanya kekosongan untuk sesuatu jawatan adalah dalam bilangan yang kecil. Walaupun tidak ada kuota  pengambilan ditetapkan bagi  calon KPSL dan PSB tetapi dalam setiap urusan pengambilan didapati ramai juga  calon KPSL atau PSB diperakukan untuk lantikan seperti urusan pengambilan Pegawai Belia dan Sukan S41, Penguasa Kastam W41, Penolong Pegawai Perubatan U41, Penguasa Imigresen KP41 dan Pegawai Penguatkuasa N41.  Calon KPSL atau PSB perlu menunjukkan prestasi yang terbaik semasa ditemu duga bagi menyakinkan Lembaga Temu Duga bahawa mereka adalah calon terbaik untuk jawatan berkenaan. Calon KPSL dan PSB seharusnya mempunyai kelebihan untuk bersaing dengan calon lantikan terus kerana telah memahami sistem perkhidmatan awam. SPA melaksanakan dasar open competition dalam urusan pengambilan dan hanya calon yang terbaik akan dilantik tanpa menafikan peluang calon KPSL dan PSB.
 
 
line