|

Assalamualaikum wb.t
Alhamdullilah, bersyukur ke hadrat Allah swt kerana Edisi Syawal Bil. 1/2008 dapat diterbitkan yang akan menggantikan buletin. Tahniah juga kepada semua ahli jawatankuasa yang baru dilantik untuk sesi 2008/2009 serta terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa sesi 2006/2007 yang telah menjalankan tugas dengan jayanya.
Edisi Syawal Bil 1/2008 adalah berbeza dari buletin yang diterbitkan sebelum ini kerana telah mengambil kira perubahan teknologi semasa dan ianya akan dipaparkan secara elektronik dalam Portal PUSPANITA. Biro Seranta dan ICT juga telah mereka bentuk kad raya yang berbeza dari tahun sebelumnya kerana memaparkan bangunan SPA beserta dengan penjualan sampul duit raya yang julung kali diadakan akan lebih menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya pada tahun 2008 ini.
Tahniah kepada ahli-ahli PUSPANITA yang telah dinaikkan pangkat, bertukar ke tempat baru, bersara, berkahwin dan mendapat cahaya mata. Tidak lupa juga takziah kepada keluarga Allahyarham Norliah binti Suratman yang telah kembali ke rahmatullah pada 26 Julai 2008 serta keluarga ahli PUSPANITA yang telah kembali ke rahmatullah dan semoga roh-roh mereka akan dirahmati Allah swt.
Pelbagai aktiviti telah dirancang oleh PUSPANITA sepanjang tahun 2008. Antara aktiviti tersebut Lawatan Berpandu Ke Kraftangan Malaysia , Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil, Lawatan ke Penjara Kajang, Ceramah di Bulan
Ramadhan dan sebagainya. Selain aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh PUSPANITA SPA sendiri, terdapat juga seminar,bengkel dan ceramah yang dianjurkan oleh PUSPANITA Jabatan Perdana Menteri dan juga Kebangsaan. Ahli-ahli PUSPANITA diharapkan dapat selalu melawati Portal PUSPANITA agar tidak ketinggalan mengikuti program-program menarik yang telah diatur. Sokongan dari ahli PUSPANITA amatlah diharapkan agar kita dapat menambahkan sedikit ilmu daripada aktiviti yang dianjurkan.
Keceriaan dan kebersihan tempat kerja adalah amalan yang mulia dan amat dituntut oleh agama. Keperibadian yang mulia samada secara luaran atau dalaman akan lebih menjamin urusan pekerjaan dapat berjalan dengan lancar dan mampu menjana ekonomi dengan tidak mengabaikan segala suruhan dan larangan. Bertepatan dengan bulan Syawal yang menuntut semua umatnya melakukan amal ibadat dan berjimat cermat dalam perbelanjaan akan memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik seperti rasuah, tidak amanah, tidak menepati janji dan sebagainya.
Akhir kata sekiranya ahli-ahli PUSPANITA mempunyai cadangan atau maklumat sama ada dalam bentuk pandangan, teguran, karya dan lain-lain, diharap dapat menyalurkan kepada Biro Seranta dan ICT. Semoga usaha-usaha kita akan diberkati Allah, insyaAllah.
Wassalam

Pengerusi Biro Seranta dan ICT
( Afidah Mohd Isa)
|