Bahagian Peperiksaan bertanggungjawab menguruskan Peperiksaan Khas dengan cekap,berkesan dan teratur untuk mencapai satu tahap peperiksaan yang bermutu bagi memenuhi syarat-syarat perlantikan ke Perkhidmatan Awam sebagaimana yang ditetapkan di dalam Skim-skim Perkhidmatan yang berkenaan.
PIAGAM PELANGGAN
Komitmen kami ialah menguruskan Peperiksaan Khas Memasuki Perkhidmatan Awam dengan cekap, berkesan dan teratur. Kami berjanji akan mengumumkan keputusan peperiksaan dalam tempoh 8 minggu dari tarikh pendaftaran calon menduduki peperiksaan.
CARTA ORGANISASI
Jumlah perjawatan di Bahagian Peperiksaan seperti yang ditunjukkan pada Carta Organisasi adalah 20 orang. Bahagian ini diketuai oleh seorang Pegawai Peperiksaan Gred 2 (Terbuka) dengan dibantu oleh 4 orang Pegawai Peperiksaan Gred 3 (Terbuka), 2 orang Penolong Pegawai Tadbir Gred N6 dan 13 orang anggota lain. Pada masa ini, anggota di Bahagian Peperiksaan adalah seramai 15 orang.
FUNGSI BAHAGIAN PEPERIKSAAN
Fungsi utama Bahagian Peperiksaan mengikut unit adalah seperti berikut::-
Unit Pengawalan dan Pembangunan Peperiksaan
Menggubal Sukatan Peperiksaan bagi semua peperiksaan yang di kendalikan Mengkaji laporan-laporan Ketua Pengawas dan Pemeriksa. Menjalankan Naziran ke atas semua peperiksaan yang dikendalikan oleh Bahagian Peperiksaan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.
Menganalisa markah dan laporan peperiksaan selepas peperiksaan diadakan. Membangunkan kaedah-kaedah peperiksaan. Membuat Penyelidikan ke arah membangunkan sistem pengurusan peperiksan. Memberi khidmat nasihat kepada Kementerian/Jabatan dari segi penggubalan sukatan dan soalan peperiksaan.
Unit Pengendalian dan Pentadbiran Peperiksaan
Menyelia dan menyelaras pengendalian semua jenis peperiksaan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Merancang dan mentadbir pengurusan peperiksaan.
Melantik Ketua Pengawas/Pengawas Peperiksaan
Menempah pusat-pusat peperiksaan di Semenanjung Malaysia.
Mengendalikan semua tuntutan dan elaun pengurusan peperiksaan iaitu elaun Ketua Pengawas/Pengawas, elaun Penggubal Soalan, elaun Pemeriksa Kertas Jawapan, elaun Mesyuarat Lembaga Peperiksaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, sewaan dewan Peperiksaan dan lain-lain.
Mengawasi percetakan dan pembungkusan kertas-kertas soalan
Menjawab semua surat yang berkaitan dengan peperiksaan daripada orang awam atau Kementerian/Jabatan.
Unit Psikologi
Pengendalian Ujian Psikologi untuk memasuki Perkhidmatan Awam.
Mengendalikan urusan Penggubalan soalan-soalan.
Menapis draf-draf soalan yang dihantar oleh penggubal untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penapisan Soalan dan seterusnya ke Mesyuarat Lembaga Lembaga Peperiksaan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Menjalankan Kajian dan Penyelidikan yang berterusan bagi menentukan kaedah penggunaan Ujian psikologi dengan lebih berkesan.
Membangunkan alat ujian psikologi yang bercirikan norma tempatan.
Mengendalikan khidmat kaunseling kepada Urus setia SPA bagi tujuan membantu menyelesaikan masalah ke arah mewujudkan kecemerlangan mutu kerja dikalangan anggota
PEPERIKSAAN KHAS
Terdapat 21 jenis jawatan yang disyaratkan Peperiksaan Khas mengikut Skim Perkhidmatan yang perlu diduduki calon terlebih dahulu bagi melayakkan ditemu duga. Jenis-jenis peperiksaan tersebut ialah ujian Bakat, Ujian Kecenderungan, Ujian Kederasan Ujian Fizikal dan Ujian Psikologi.
Peperiksaan bagi jawatan-jawatan tersebut akan diadakan apabila terdapat permohonan daripada Kementerian/Jabatan untuk mengisi kekosongan jawatan. Calon-calon yang lulus peperiksaan sahaja akan dipanggil temu duga sebelum dilantik. Keputusan peperiksaan bagi Ujian Bakat, Ujian Kecenderungan dan Ujian Kecederasan ini juga mempunyai tempoh sahlaku selama 2 tahun, sementara bagi Ujian Psikologi, tempoh sahlaku ialah berjaya dalam temu duga, boleh menggunakan keputusan peperiksaan ini dalam tempoh tersebut. Bagi jawatan-jawatan yang mensyaratkan ujian fizikal, ujian akan diadakan serentak pada hari temu duga. Tiada tempoh sahlaku bagi ujian jenis ini.
BENTUK PEPERIKSAAN
Ujian Bakat
Ujian ini digunakan untuk memilih calon-calon bagi sesuatu jawatan yang memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang hanya boleh diperolehi melalui atau latihan yang khusus atau latihan sambil bekerja (on-the-job training). Bagi jawatan-jawatan yang memerlukan individu diberi latihan sebelum dapat menjalankan tugas dengan baik, ujian bakat akan dapat menilai keupayaan mereka untuk mempelajari kemahiran-kemahiran tersebut dan tatalaku yang diperlukan. Ujian-ujian ini dibentuk untuk memastikan sama ada seorang calon itu sesuai bagi jawatan-jawatan tersebut atau tidak. Ujian-ujian ini merupakan peramal performan kerja yang valid. Jawatan-jawatan yang dikenakan Ujian bakat ialah Pegawai Kebudayaan (Gred B3 dan Gred B5), Penerbit Rancangan (Gred B3 dan Gred B5), Pereka (Gred B3 dan Gred B5) dan Ahli Fotografi (Gred B5).
Ujian dijalankan secara bertulis dan/atau amali seperti berikut:-
Penerbit Rancangan (Gred B3 dan Gred B5)
Bertulis (objektif dan Esei), ujian suara dan ujian amali.
Pereka (Gred B3 dan Gred B5)
Bertulis (Objektif dan Esei) dan lukisan.
Pegawai Kebudayaan(Gred B3 dan Gred B5)
Bertulis (objektif) dan Ujian amali
Ahli Fotografi (Gred B5)
Bertulis (objektif dan esei) dan ujian amali.
Ujian Kecenderungan
Ujian kecenderungan merupakan alat yang berkesan untuk meramal performan kerja calon-calon. Ujian ini amat berguna bagi menilai kemampuan dan kecekapan pembelajaran calon-calon terutama dalam memperolehi pengetahuan tentang pekerjaan. Ujian ini mengukur Kecenderungan- kecenderungan seperti daya menyelesaikan masalah menggunakan logik, interprestasi data dan konsep-konsep matematik, menguji kebolehan dan kefahaman calon-calon dalam membuat taakulan lisan (verbal reasoning) serta menilai potensi untuk menjalankan tugas-tugas pentadbiran yang asas seperti perancangan dan membuat keputusan. Ujian yang dilaksanakan adalah secara bertulis dalam bentuk objektif dan penulisan esei.
Jawatan yang dikenakan ujian Kecenderungan ini ialah Pegawai Tadbir dan Diplomatik(Gred M3).
Ujian Kederasan
Ujian kederasan yang dilaksanakan di Bahagian Peperiksaan ialah trengkas taip. Ujian ini digunakan untuk menguji kemahiran calon mengambil catatan trengkas daripada pita rakaman dan kemudian menyalin semula catatan trengkas tersebut dalam bentuk bertaip, dalam masa yang ditentukan.
Jawatan yang memerlukan Ujian Kederasan ialah Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) Gred N9.
Ujian Psikologi
Ujian Psikologi merupakan alat yang berkesan untuk mengukur sikap atau kemampuan mental calon-calon di segi kecekapan memperolehi pengetahuan tentang pekerjaan dan kejayaan dalam melaksanakan tugas. Ujian Psikologi dilaksanakan untuk melihat kaitan dan kesesuaian calon dari aspek personaliti minat, sikap, kecerdasan, nilai dan kemahiran dengan kerjayanya. Diantara gagasan-gagasan yang diukur ialah tret-tret psikologikal seperti kestabilan emosi, kemampuan menganalisa dan menyelesaikan masalah, kemahiran perhubungan kemanusiaan dan kepimpinan. Ujian dilaksanakan secara bertulis.
Jawatan-jawatan yang dikenakan Ujian Psikologi ialah Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Gred M3) dan Pegawai Siasatan (Gred S3 dan Gred S5).
Ujian Fizikal
Ujian Fizikal dilaksanakan bagi memastikan calon-calon yang dilantik mempunyai ukuran badan yang sesuai, taraf kesihatan yang baik dan tahap kecergasan/ kecerdasan fizikal yang memuaskan. Melalui ujian akan dapat menentukan calon-calon mempunyai tenaga, usaha dan sentiasa bersedia untuk bertindak dengan kemampuan fizikal dan kecekapan yang ada. Jawatan-jawatan yang dikenakan Ujian Fizikal ialah Pegawai Keselamatan (Gred KP3 dan KP5), Penguasa Penjara (Gred KX5 dan KX7), Pegawai Penguatkuasa (Gred N3 dan N6), Penguasa Bomba (Gred KB5 dan KB7) dan Pegawai Siasatan (Gred KR3 dan KR5).
Jenis-jenis ujian yang dijalankan ialah ujian ukuran badan, ujian penglihatan dan ujian pengecaman warna. Bagi jawatan perkhidmatan bomba, ujian kecergasan/kecerdasan juga akan dilaksanakan.
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Aras 6 -10 , Blok C7, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62520 Putrajaya. Telefon : 603
8885 6000 | Faks : 603 8888 5036
PENAFIAN Kerajaan dan
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia tidak bertanggungjawab atas
kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang
disediakan melalui laman web ini.
Hakcipta TerpeliharaŠ 2005 Laman Web Oleh SPA
Malaysia. Sesuai dipapar menggunakan IE versi 6.0 dan ke atas dengan
resolusi 1024 x 768.