Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan ditubuhkan di Sarawak pada tahun 1963 iaitu apabila Sarawak dan Sabah merdeka melalui penubuhan Malaysia. Pada awal penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di Sarawak dikenali sebagai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan, Cawangan Sarawak/Sabah bertempat di Kuching. Penubuhan ini selaras dengan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan Malaysia 1962 sepertimana yang telah diperuntukkan di bawah perkara 14B Perlembagaan Persekutuan. Dua orang ahli adalah 'ex officio' dari SPA (negeri) dan menjadi Pengerusi kepada SPA Persekutuan, sementara bilangan ahli SPA (Persekutuan) adalah sama bilangan dengan bilangan ahli daripada SPA (Negeri) iaitu seramai 3 orang. Kakitangan pejabat diketuai oleh seorang Setiausaha.
Ahli-ahli SPA Persekutuan, Cawangan Sarawak/Sabah yang pertama terdiri daripada Abdullah bin Dato' Haji Abdul Rahman J.M.N. sebagai Pengerusi, G. Leo J.M.N., F.R.M Kitto dan Edward Jerah B.E.M. sebagai ahli dan Mohd Shahari bin Ahmad Jabar sebagai Setiausaha.
Pada 1 Julai 1975, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan Cawangan Sabah telah dipisahkan dan bertempat di Kota Kinabalu. Manakala mulai 14 Mei 1981, setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan khususnya melalui Akta 514A 1981, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan Cawangan Sarawak telah dimansuhkan.
Mulai dari tarikh tersebut semua urusan dan tanggungjawab Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan Cawangan Sarawak telah diserapkan ke dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia yang beribupejabat di Kuala Lumpur. Selaras dengan itu gelaran jawatan Pegawai Eksekutif sebagai Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Cawangan Sarawak dikenali sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Urus setia Cawangan Sarawak. Ini bermakna segala tindakan untuk menjalankan kuasa-kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia mestilah diselaraskan dari satu arah iaitu Ibu Pejabat Kuala Lumpur dan juga daripada seorang Setiausaha bagi pihak Urus setia dan seorang Pengerusi bagi pihak Suruhanjaya.
OBJEKTIF
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan, Cawangan Sarawak adalah bertanggungjawab kepada urusan pengambilan dan perkhidmatan anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan di Negeri Sarawak, peranannya untuk memberi jaminan, menjaga dan melindungi rakyat tempatan yang diambil berkhidmat dalam Jabatan-jabatan Kerajaan yang dipersekutukan di Negeri Sarawak.
FUNGSI DAN BIDANGKUASA
Fungsi dan bidangkuasa yang dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia adalah seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 144(1) iaitu untuk melantik, mengesah dan meletakkan ke dalam jawatan berpencen, menaikkan pangkat, pertukaran dan juga mengenakan tindakan tatatertib ke atas pegawai-pegawai awam. Selaras dengan itu bidangkuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan, Cawangan Sarawak meliputi pegawai-pegawai yang berkhidmat di bawah syarat-syarat di dalam Jabatan-jabatan Persekutuan di Sarawak dan yang mempunyai tanggagaji C4 ke atas dan jawatan-jawatan Tingkatan N5-7 dan P8-9 (kecuali jawatan polis) selain daripada jawatan-jawatan di dalam perkhidmatan gunasama seperti yang termaktub dalam Fasal (1) perkara 146B Perlembagaan Persekutuan. Fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan, Cawangan Sarawak pada awal penubuhannya ialah pengambilan tempatan dan seberang laut, pembaharuan jawatan kontrak, kenaikan pangkat, pengesahan dalam perkhidmatan, pemberian taraf berpencen, pinjaman sementara, kursus seberang laut dan tatatertib. Fungsi ini telah diubahsuai pada tahun 1981 selaras dengan Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dilaksanakan melalui Akta 514A, 1981.
TANGGUNGJAWAB
Tanggungjawab Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Urus setia Cawangan Sarawak adalah untuk memastikan fungsi-fungsi Suruhanjaya yang telah ditetapkan mengikut Perlembagaan Persekutuan 144(1) dilaksanakan dengan sempurna, betul dan teratur mengikut peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa. Di samping itu, semua urusan mengenai pengurusan/pentadbiran Urusetia tertakluk kepada ketetapan-ketetapan yang telah diputuskan oleh Ibu Pejabat.
PERUNDANGAN
Pada menjalankan tanggungjawabnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Urusetia cawangan Sarawak tertakluk kepada perundangandan perintah am berikut:
Ordinan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam 1957; Kaedah-kaedah Perlembagaan (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, 1962) yang dibuat di bawah Perkara 144(8) Perlembagaan;
Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam 1972 [P.U.(A) 47]
Peraturan-peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam, 1972[P.U.(A) 48] Perintah am Bab 'A' 1973 Perintah Am Bab 'D' 1980
PIAGAM PELANGGAN
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam malaysia, Urus setia Cawangan Sarawak berjanji dan komited untuk melaksanakan Piagam Pelanggan kami seperti berikut:
Unit Pengambilan
Semua urusan pengambilan calon-calon untuk menjalani latihan Separa Perubatan serta penawaran bakal pelatih-pelatih kepada Kementerian Kesihatan/Jabatan Kesihatan akan diproses dalam tempoh lapan (8) minggu dari tarikh menerima permohonan dari Kementerian Kesihatan/Jabatan Kesihatan.
Unit Perkhidmatan
Semua permohonan untuk Pengesahan dalam perkhidmatan, kemasukan kejawatan berpencen, perlanjutan tempoh percubaan, penyelarasan gaji permulaan dan pertukaran perkhidmatan akan diambil tindakan/diproses dalam masa tiga (3) minggu dari tarikh permohonan diterima dari Ketua Jabatan dan keputusan disampaikan dalam tempoh dua (2) minggu.
Unit Peperiksaan
Semua urusan pendaftaran permohonan menduduki peperiksaan dan mengeluarkan Slip Arahan Calon dalam tempoh 14 hari sebelum hari peperiksaan.
STRUKTUR ORGANISASI
Dalam memastikan kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia ini dapat diselaraskan dengan cekap dan berkesan maka unit-unit seperti berikut telah diadakan:
Unit Pengambilan
Bertugas untuk membuat pengambilan pegawai baru. Tugas-tugas adalah dari pengiklanan jawatan kosong sehinggalah mengeluarkan surat tawaran. Selapas 1986 urusan pengambilan Kumpulan C dan D sahaja. Mulai 1 September 1996, kesemua urusan pengambilan dalam kumpulan C dan D diwakil kuasakan kepada Kementerian/jabatan. Kini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Urus setia Cawangan Sarawak hanya menjalankan urusan pengambilan bagi memilih dan melantik pelatih-pelatih Separa Perubatan di Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Unit Perkhidmatan
Menyelesaikan segala perkara-perkara perkhidmatan seperti mengesahkan, meletakkan ke taraf berpencen, lanjutan tempoh percubaan, menimbangkan rayuan tanggagaji masuk, penamatkan perkhidmatan, pertukaran perkhidmatan dan kembali ke jabatan asal dan lain-lain hal perkhidmatan.
Unit Peperiksaan
Mengurus dan melaksanakan peperiksaan perkhidmatan awam bagi pihak Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan peperiksaan pra perkhidmatan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dengan Cekap, teratur dan bermutu.
Unit Pentadbiran dan Kewangan
Bertindak bagi menyelesaikan hal-hal pentadbiran dan kewangan pejabat Suruhanjaya Sendiri.
Unit Komputer
Merupakan bahagian sokongan kepada semua unit lain bagi mengendalikan kerja-kerja secara berkomputer.
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Aras 6 -10 , Blok C7, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62520 Putrajaya.
Telefon : 603 8885 6000 | Faks : 603 8888 5036
PENAFIAN
Kerajaan dan
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia tidak bertanggungjawab atas kehilangan
atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang disediakan
melalui laman web ini.
Hakcipta TerpeliharaŠ 2005 Laman Web Oleh SPA
Malaysia. Sesuai dipapar menggunakan IE versi 6.0 dan ke atas dengan resolusi
1024 x 768.