Surat Anda Tahun 2016

Senarai yang dipaparkan ini adalah pendapat/ cadangan/ pertanyaan orang awam yang telah dikemukakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Setiap pendapat/ cadangan/ pertanyaan yang telah diambil tindakan akan dipaparkan di ruangan ini. Terima kasih di atas sokongan anda.

BIL. PENGGUNA PENDAPAT / CADANGAN / PERTANYAAN MAKLUM BALAS / TINDAKAN
1. MOHAMMAD EFFENDI BIN ABDUL TALIB Pendapat saya, model peperiksaan online PTD yang dijalankan sekarang yang boleh diduduki di mana-mana sahaja tidak dapat mengukur tahap pengetahuan sebenar calon kerana calon mempunyai ekses kepada berbagai bentuk bantuan semasa menjawab soalan peperiksaan.

Saya mencadangkan agar peperiksaan ini menggunakan model peperiksaan online yang dibuat dan digunapakai oleh Malaysian Insurance Institute dan juga IBFIM yang memerlukan calon untuk hadir di pusat makmal komputer bagi menduduki peperiksaan. Di mana calon tidak mempunyai ekses kepada sebarang bentuk bantuan dan rujukan semasa menjawab solan peperiksaan.

Ini dapat memastikan hanya calon peperiksaan sahaja yang menjawab soalan peperiksaan tanpa sebarang bantuan yang tidak sepatutnya seperti menjawab solan beramai-ramai atau dengan google untuk mencari jawapan.

Penambahbaikan segera perlu dilakukan bagi memberi lebih keadilan kepada semua calon peperiksaan dan memberi manfaat kepada SPA bagi mendapatkan hanya calon yang benar-benar layak.

Sekian, terima kasih.
Tuan,

Pihak SPA telah mengkaji pelbagai kemungkinan bagi memastikan semua calon mendapat manfaat sebelum Peperiksaan Online ini diperkenalkan.

Terima kasih atas cadangan yang diberikan.

Sekian.
2. LAI AH MOOI Saya berpendapat segala persediaan dan pengendalian untuk Peperiksaan Online Memasuki Perkhidmatan Pegawai Tadbir Dan Diplomatik M41 oleh SPA pada 19 Jan 2016 adalah baik dan bagus. Saya amat berharap saya dapat dipanggil untuk mengikuti Program Assessment Centre. Terima kasih. Tuan,

Terima kasih atas pandangan tuan. Selamat maju jaya.

Sekian, terima kasih.
3. SITI NOR ERWANI BINTI MOHD SIDIK Masa yang diperuntukkan untuk menjawab soalan seksyen 2 tidak mencukupi. Pada pendapat saya, masa seharusnya ditambahkan lagi dengan sewajarnya. Salam Sejahtera,

Peperiksaan telah selesai dijalankan. Untuk makluman seramai 57,320 orang telah berjaya memasuki peperiksaan tersebut termasuk calon-calon yang sedang berada di luar negara seperti Indonesia, Jepun, Korea, Singapura dan Australia. SPA sedang memproses data untuk tujuan mengeluarkan keputusan peperiksaan.

Sekian, terima kasih.
4. HAJAR AWANIS BINTI ANUAR Salam. Saya baru sahaja menerima keputusan kegagalan saya dalam PEPERIKSAAN PTD 19 Januari 2016 baru-baru ini. Apa yang saya kesal adalah sistem internet dan server yang sangat perlahan, saya hanya boleh log in masuk ketika lagi 10 minit sebelum peperiksaan section A tamat.

Apa yang mendukacitakan, peperiksaan online ini bukanlah kali pertama SPA jalankan, SPA sewajarnya mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif dan efisyen dalam menangani masalah "jammed" sebelum ingin log in portal peperiksaan tersebut.
Salam Sejahtera,

Terima kasih di atas cadangan puan terhadap penambahbaikan Sistem Peperiksaan Online SPA. Pihak SPA ambil maklum akan cadangan tersebut.

Sekian, terima kasih.
5. MOHD IZUWAN BIN MOHD ALI Selamat pagi dan salam sejahtera,

Saya terpanggil untuk memberikan sedikit pendapat mengenai PAC yang baru diadakan pada 13 Feb 2016. Tahun ini pihak spa telah memulakan semula pac bagi jawatan ptd. Memang ia satu langkah yang baik dan juga pihak spa telah memasukkan UKJK sebagai salah satu syarat wajib yang perlu dilalui sebelum berjaya meneruskan pac. Saya bukan bercakap dan memberi komen atas dasar tidak puas hati tetapi sekadar untuk memberikan sedikit cadangan dan pandangan. Di dalam pac kali ini BMI salah satu perkara yg perlu dilepasi oleh pemohon. Sekadar terlintas di pikiran, apakah kriteria yang dicari oleh pihak spa bagi mengisi kekosongan jawatan ini...? Tidak semestinya calon yang lebih bmi adalah calon yang tidak baik dan tidak semestinya calon yang lepas bmi dan ujian jasmani adalalah calon yang baik.sepatutnya pihak spa wajar memberikan peluang yang sama rata kepada semua calon dalam proses pac ini..ini kerana bagi saya adalah lebih baik calon dinilai dari semua aspek dan bukan hanya kepada aspek jasmani dan fizikal.sebelum mendapat tawaran pac kesemua calon ini telah melalui ujian online dan hanya mereka yang berjaya sahaja layak ke pac. Pihak spa juga semestinya lebih tahu dan arif mengenai tahap peperiksaan online yang telah dilalui oleh calon. Disini saya melihat proses pac pada tahun ini lebih kepada diskriminasi kepada mereka yang terlebih berat...peluang sama rata harus lah diberi kepada semua calon pac dalam menonjolkan keupayaan mereka. Sia sia sahaja meraka ini datang seawal jam 7 pagi bagi proses pac tetapi selepas menunggu hampir 2 jam mereka dipanggil ke bilik berasingan dan diberitahu bahawa mereka gagal kerana bmi mereka tidak melepasi syarat lulus iaitu dari 19-29.seharusnya nya calon dinilai dari semua aspek dari pengetahuan saya mereka yang berjaya dalam semua tahap akan ditawarkan sebagai kadet ptd. Dalam masa beberapa bulan mereka akan melengkapkan program kadet ptd dan inilah masa yang sesuai untuk membentuk seorang pegawai tadbir diplomatik yang berkualiti setaraf dengan kemegahan jawatan ini sendiri.apa pun ini hanyalah pandangan dan pendapat saya. Semuanya terserah kepada pihak spa dalam menntukan proses dan penilaian itue sendiri demi kebaikan di masa yang akan datang....

Sekian,terima kasih :-)
Tuan,

Pihak SPA dan JPA telah mempertimbangkan semua kriteria penilaian bagi membuat pemilihan terbaik Kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41 bagi sesi 2016.

Sekian.
6. NUR AIN BINTI MARSIDI Salam 1 Malaysia,

Tuan/puan

Dengan rendah dirinya saya sebagai orang awam ingin memberi pendapat tentang tempat seminar spa outreach yang sering pihak tuan/puan anjurkan.

Selama empat tahun saya menunggu nama daerah Kudat sebagai salah satu tempat untuk seminar ini dijalankan,tetapi rasanya sehingga kini masih belum menjadi pilihan pihak tuan/puan. Sekiranya sudi saya memohon pihak tuan/puan mengadakan seminar ini di daerah Kudat kerana ramai di antara sahabat dan kaum keluarga saya yang masih tidak mahir dan tahu tentang spa8.Kehadiran tuan/puan ke sini sangat saya hargai.

Terima kasih atas perhatian dan maklumbalas dari pihak tuan/puan.
Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada aduan puan yang bertarikh 17 Februari 2016.

Terlebih dahulu Suruhanjaya ini menyucapkan ribuan terima kasih di atas cadangan puan berkenaan pelaksanaan Outreach SPA di Kudat. Suruhanjaya ini mengambil maklum di atas cadangan tersebut dan akan menyenaraikan Kudat sebagai destinasi Outreach SPA pada masa akan datang.
7. NOR AMALINA BINTI AZMI CADANGAN SUPAYA SPA MEMBERI PELUANG KEPADA PEMOHON UNTUK MENGISI JAWATAN MENGIKUT KESEMUA KELAYAKAN YANG KAMI ADA

Dengan keadaan sekarang, pelajar yang tamat belajar teramat susah untuk mendapat kerja dan terpaksa bekerja biasa dan ala kadar sahaja. Saya rasa SPA patut memberi peluang kepada pelajar/pemohon mengisi jawatan mengikut kesemua kelayakan yang kami ada.

Hal ini kerana untuk mendapat jawatan mengikut kelayakan teringgi teramat susah. Janganlah menyekat peluang kami dengan keadaan sekarang. Bukalah semula peluang seperti dahulu.

Saya dan pemohon seangkatan amat menentang cara yang SPA gunakan sekarang ini. Fahamlah kesusahan dan peluang yang terlampau terhad yang ditanggung pelajar-pelajar sekarang ini.

Terima Kasih
Salam sejahtera,

Untuk makluman puan, Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 28/2015 pada 03 Ogos 2015 telah memutuskan bahawa konsep One Step Lower akan dilaksanakan dalam permohonan jawatan dan telah berkuat kuasa bermula pada tarikh tersebut yang mana calon boleh memohon jawatan yang tidak melebihi satu peringkat lebih rendah dari kelayakan yang ditetapkan untuk jawatan tersebut dan calon juga turut mempunyai kelayakan di peringkat berkenaan.

Sebagai contoh :

1. Calon yang memiliki kelayakan Ijazah Kepujian/Am boleh memohon jawatan yang mensyaratkan kelulusan di peringkat Diploma/STPM dengan syarat calon mempunyai kelayakan di peringkat Diploma/STPM.

2. Calon yang memiliki kelayakan Diploma/STPM pula boleh memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk SPM.

Sekian, terima kasih.
8. MOHD FIRDAUS BIN RAMLAN Kehadapan Dato' Seri Arpah,

Assalamualaikum Dato' Seri,

Biar saya terus kepada perkara pokok yang saya ingin kritik di sini mengenai pengendalian pihak SPA semasa PAC PTD M41 tahun ini.

Sebenarnya Dato' Seri, saya tidak mahu memanjangkan perkara ini sejak 'dihalau balik' daripada PAC yang saya hadiri pada 17/02/2016 di Wilayah INTAN Selatan bulan yang lalu.

Tetapi hari ini saya rasa terpanggil untuk mengkritik cara pihak SPA mengendalikan situasi dan ketelusan maklumat. Saya hairan Dato' Seri, kenapa SPA bagi saya masih tidak informatif dan mesra rakyat. melihat dengan keadaan politik dan kuasa media massa pada ketika ini, saya cadangkan SPA patut keluar dari Zon selesa dan berubah ke arah 'khidmat mesra kepada rakyat'.

Ini ekoran situasi di mana saya dan beberapa calon lain telah 'dihalau balik' dari meneruskan PAC pada Februari yang lalu. Saya yakin dan percaya mungkin Dato' Seri maklum akan perkara ini. Alasan yang diberikan oleh Pegawai yang kendalikan PAC tersebut adalah Tan Sri KSN mengarahkan Calon Kadet PTD perlu mempunyai BMI dalam lingkungan 19-30.

Saya tidak pasti adakah perkara itu benar namun saya ambil dari sudut positif. Cuma saya ingin kritik, mengapa 'tapisan' atau 'screening' ini tidak dimaklumkan atau dihebahkan kepada rakyat atau calon yang ingin mengambil pepereksaan PTD lebih awal. saya ada menghubungi SPA sebelum saya pergi ke PAC tersebut namun apa yang saya boleh katakan, Pegawai Dato' Seri masih kurang informatif dan tidak mampu menyampaikan maklumat yang lebih tepat.

Dato' Seri, adakah negara kita sangat ketinggalan berbanding dengan kerajaan negara lain sehingga perkara yang amat mudah ini tidak mampu disampaikan kepada rakyat dengan telus dan tepat. adakah bajet negara yang digunakan untuk membangunkan modal insan pegawai kerajaan tidak membuahkan hasil malah masih kurang produktif. saya perlu katakan begini kepada Dato' Seri kerana saya adalah rakyat dan saya amat peka pada perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. adakah permintaan Tan Sri KSN itu dikategorikan sebagai rahsia kerajaan yang sangat sulit dan mampu menggugat keselamatan negara sehingga tidak boleh dimaklumkan dengan tepat kepada rakyat.

Maaf Dato' Seri, saya bukan seperti rakyat kebanyakan yang mudah terpedaya dengan retorik dan mainan politik yang tidak berkesudahan sampai ke hari ini. Persoalan saya amat mudah. Mengapa ianya tidak dimaklumkan sebagai syarat mandatori kepada Calon PTD seawal sebelum mengambil peperiksaan lagi. Saya mengikuti SPA melalui Facebook, mesyuarat demi mesyuarat untuk memilih dan menentukan kritiria calon yang hendak menjadi pegawai kerajaan. adakah membuang masa dan membazir wang rakyat merupakan keperluan SPA untuk melihat semangat Calon PTD. saya rasa Dato' Seri boleh bayangkan sendiri dari mula saya bertolak (Putrajaya) ke Kampus Intan Wilayah Selatan (Batu Pahat) dengan semangat mahu menjadi Pegawai PTD namun hakikatnya saya hanya membuang masa kerana alasan arahan Tan Sri KSN yang tidak disampaikan dengan cara yang lebih tepat.

Jika maklumat itu disampaikan dengan baik dan lebih profesional, saya rasa tidak perlu membazirkan wang dan menggadai nyawa pada hari tersebut kerana memang tidak masuk akal untuk saya kurangkan berat badan dalam tempoh 10 hari.

Dato' Seri, saya sebenarnya bukan seorang yang suka mengkritik kerana saya percaya setiap individu akan berubah ke arah yang lebih baik. cuma situasinya sekarang, maklumat yang begitu mudah tidak dapat disampaikan kepada rakyat dan ianya berlaku pada zaman yang serba moden.

Saya tidak marah dan saya profesional Dato' Seri. Saya berkhidmat di sektor perbankan dan sememangnya 'work attitude' saya lebih kepada fakta dan ketelusan maklumat. saya pernah berkhidmat di sektor kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. memang benar jurang kecekapan itu ada. tetapi saya yakin dan percaya perkhidmatan kerajaan pada masa ini sepatutnya lebih baik dan efisen namun sedih perkara yang amat mudah ini masih berlaku.

saya mohon maaf sekiranya penulisan saya ini telah menyinggung perasaan Dato' Seri dan rakan-rakan perkhidmatan awam yang lain. Cuma saya harap pada masa hadapan, SPA lebih telus, mesra pengguna dan tidak mengambil mudah pada sesuatu perkara. kerana ia melibatkan nyawa dan wang ringgit rakyat.

Semoga Dato' Seri terus mentadbir SPA dengan lebih baik.

Sekian terima kasih.
Sdra,

terima kasih dan kami hargai di atas maklumbalas yang sdra berikan. Pandangan sdra tersebut akan kami ambilkira supaya pelaksanaan urusan pengambilan PTD di masa hadapan akan lebih sempurna.

terima kasih.
9. MOHAMAD BADRUL HISYAM BIN MAT LAZIM Assalamualaikum w.b.t.

Tuan/Puan,

Saya adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda (Sains) Perladangan dari Uitm. Saya berasa amat sedih dan kecewa setiap kali menyemak permohonan saya di portal SPA. Hal ini kerana semua keputusan adalah tidak melepasi syarat kemungkinan disebabkan tapisan pengkhususan. Untuk makluman pihak tuann/puan, kursus yang saya telah ikuti iaitu pengurusan perladangan merupakan satu kursus yang merangkumi pelbagai bidang seperti pertanian, ukur tanah, perakaunan, pengurusan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, bahkan Pengurusan Perladangan juga merupakan sebahagian daripada pertanian dimana kebanyakan subjek yang di ambil adalah berkaitan pertanian sebagai contoh Agricultural Biotechnology, Soil Science, Plant pathology, Entomology dan sebagainya. Jadi di sini, saya ingin memohon agar pihak tuan/puan menyemak semula tentang tapisan pengkhususan kerana bidang kami juga menyumbang kepada bidang pertanian tetapi tidak layak untuk memohon jawatan seperti pegawai pertanian, pegawai penyelidik bahagian pertanian dan apa-apa jawatan yang berkaitan dengan pertanian. Tambahan pula, portal SPA tidak meminta transkrip sedangkan transkrip memaparkan maklumat yang lebih jelas tentang pengkhususan bidang. Saya faham pihak tuan/puan juga mengalami kesulitan untuk meneliti permohonan yang terlampau banyak. Namun begitu, saya amat berharap pihak tuan/puan juga dapat membuka peluang yang lebih besar kepada kami. Sekurang-kurangnya dipanggil untuk menghadiri temuduga agar apa yang kami pelajari tidak dipersiakan malahan dapat dipraktikkan di dalam dunia pekerjaan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak tuan/puan kerana memberikan ruang kepada saya untuk menyatakan kekesalan dan pendapat. Saya berharap pihak tuan/puan dapat memberikan feedback yang positif. Sekian terima kasih.
Salam sejahtera.

Saudara,

Tiada tempoh yang ditetapkan bagi proses di atas kerana selepas selesai proses pendaftaran, semua data permohonan akan disimpan di dalam Bank Data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Proses tapisan hanya akan dijalankan setelah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia menerima laporan pengisian kekosongan jawatan dari Kementerian/Jabatan dan kelayakan pemohonadalah tertakluk kepada Kementerian /Jabatan tersebut. Pemohon yang melepasi tapisan semasa akan dipanggil oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia bagi menghadiri ujian/ temu duga berdasarkan jawatan yang dipohon.

Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan e-pertanyaan. Kami mengambil perhatian cadangan saudara.

Sekian.
10. NORAZLIN BINTI AB WAHAB Merujuk kepada tajuk di atas, walaupun status diberi SELESAI namun saya ingin menarik perhatian terhadap perkara 1 terutama dalam tapisan terhadap CGPA kerana saya tidak mempunyai masalah dalam kredit matapelajaran tertentu atau bidang pengkhususan dalam kes permohonan jawatan PTD.

Apabila data telah dikecilkan dengan hanya mengambil kira CGPA di dalam kes ini, sudah tentu beberapa pemohon yang mempunyai kebarangkalian untuk melepasi exam online telah pun diketepikan. Inilah sebabnya saya memohon skop data diperluaskan dengan menilai setiap peperiksaan terutama diperingkat sekolah menengah.

Kajian atau postmortem sepatutnya dibuat mengapa calon yang telah diberi peluang gagal melepasi saringan terutama di dalam kertas B.

Saya memahami kemungkinan server untuk menampung jumlah calon peperiksaan online ini terhad kerana terdapat beberapa masalah teknikal telah diadukan ketika ia berlangsung. Sudah tentu dengan memperluaskan lagi bilangan calon akan menyebabkan lebih tinggi kebarangkalian masalah teknikal.

Namun, apabila perkara ini dipandang remeh maka lihatlah hasilnya. Intelligent does not mean that you are wise, but wise is always intelligent. Dijajah negara bukanlah suatu pilihan tetapi dijajah pemikiran adalah pilihan diri sendiri.

Sekian, terima kasih.

Norazlin
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Terima kasih di atas pandangan yang cukup bernas dari pihak Puan.

Walauapa jua cara, kriteria terkini yang dilihat pada setiap calon adalah keputusan CGPA terakhir.

Sekian, terima kasih.