Siri 2

Siri 2 - Pihak Berkuasa Tatatertib
line

 Pendahuluan
Sesuatu tindakan tatatertib ke atas mana-mana pegawai yang telah melakukan pelanggaran tatatertib hendaklah dilaksanakan oleh sesebuah Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) atau Lembaga Tatatertib (LTT) yang mempunyai bidang kuasa sebagaimana ditetapkan dalam peraturan-peraturan yang berkaitan.

 Peruntukan Perlembagaan Persekutuan
Mengikut Perkara 144 (1) Perlembagaan Persekutuan, kawalan tatatertib adalah merupakan salah satu fungsi tugas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Walau bagaimanapun selaras dengan peruntukan Perkara 144 (5B), Yang di Pertuan Agong telah membuat peraturan-peraturan bagi menubuhkan lembaga-lembaga di peringkat Kementerian dan Jabatan bagi menjalankan sebahagian kuasa dan tugas Suruhanjaya berhubung kawalan tatatertib ini.

 Penubuhan Lembaga-Lembaga Tatatertib
Bagi Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, penubuhan serta keanggotaan sesebuah Lembaga Tatatertib di peringkat Kementerian dan Jabatan adalah seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 2, Peraturan-peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam, 1993 [ P.U. (A) 396] serta Jadual di bawah peraturan tersebut. Lembaga-lembaga Tatatertib ini adalah mempunyai bidang kuasa tatatertib mengikut seperti yang ditetapkan dalam Jadual yang berkenaan yang pada keseluruhannya adalah berasaskan kepada kumpulan perkhidmatan serta mengikut tempat bertugas seseorang pegawai yang diambil tindakan tatatertib itu, iaitu seperti berikut:
1. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam;
2. Lembaga Tatatertib Kumpulan Pengurusan ( No. 1);
3. Lembaga Tatatertib Kumpulan Pengurusan ( No.2);
4. Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No.1);
5. Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No.2);

 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam adalah sebagai Pihak Berkuasa Tatatertib yang mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat bagi semua pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional. Selain itu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam adalah sebagai Lembaga Rayuan Tatatertib Perkhidmatan Awam bagi semua kumpulan pegawai yang telah dikenakan apa-apa tindakan/hukuman tatatertib oleh Lembaga Tatatertib selainnya.

 Lembaga Tatatertib (LTT) Kumpulan Pengurusan (No.1)
LTT ini dianggotai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebagai Pengerusi dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) serta seorang pegawai yang dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Ahli.
LTT ini mempunyai bidang kuasa tindakan tatatertib bukan dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat ke atas semua pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi serta pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam Gred 48 yang setaraf, dan ke atas.

 Lembaga Tatatertib (LTT) Kumpulan Pengurusan (No.2)
LTT ini dianggotai oleh KSU/ Ketua Pengarah/ SUK sebagai Pengerusi dan TKSU/TKP/TSUK serta seorang pegawai yang tidak lebih rendah dari Gred 48 yang setaraf, yang dilantik oleh KSU atau SUK sebagai Ahli. LTT ini mempunyai bidang kuasa tindakan tatatertib bukan dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat ke atas pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam Gred 41 yang setaraf,bagi tiap-tiap Kementerian/ Jabatan/Pentadbiran Negeri yang berkenaan .

 Lembaga Tatatertib (LTT) Kumpulan Sokongan (No.1)
LTT ini dianggotai oleh KSU/KP/SUK sebagai Pengerusi dan TKSU/TKP/TSUK serta Penasihat Undang-Undang atau Wakil Peguam Negara sebagai Ahli.
LTT ini mempunyai bidang kuasa tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat bagi pegawai dalam Kumpulan Sokongan bagi tiap-tiap Kementerian/Jabatan/Pentadbiran Negeri yang ber- kenaan.

 Lembaga Tatatertib (LTT) Kumpulan Sokongan (No.2)
LTT ini dianggotai oleh TKSU/Ketua Jabatan atau Ketua Bahagian Tempatan/TSUK sebagai Pengerusi dan SUB/ Timbalan Ketua Jabatan atau Timbalan Ketua Bahagian Tempatan/KPSU serta seorang pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang dilantik oleh KSU atau SUK sebagai Ahli.
LTT ini mempunyai bidang kuasa tindakan tatatertib bukan dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat bagi pegawai dalam Kumpulan Sokongan bagi tiap-tiap Kementerian/Jabatan/Pentadbiran Negeri yang berkenaan.

 Kuorum Mesyuarat Lembaga Tatatertib (LTT) Penggantian Anggota Lembaga Tatatertib (LTT)
Mengikut Peraturan 2(4), peraturan-peraturan yang berkenaan, kuorum bagi sesuatu mesyuarat LTT hendak lah terdiri daripada Pengerusi dan mana-mana seorang anggota lain.
Mengikut Peraturan 2(3), KSN boleh atas sebab-sebab yang hendaklah direkodkannya secara bertulis, menamakan mana-mana pegawai yang berpangkat lebih tinggi daripada pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib untuk menggantikan mana-mana anggota LTT.
Dalam keadaan di mana Pengerusi atau anggota LTT itu menjadi pengadu dalam tindakan tatatertib terhadap se- seorang pegawai, mereka tidak boleh bersidang sebagai Pengerusi atau Ahli LTT untuk mendengar kes pegawai itu.
Pegawai yang memangku sesuatu jawatan berkenaan boleh menjadi Pengerusi atau Ahli LTT. Walau bagaimanapun bagi pegawai yang menanggung kerja jawatan yang sepatutnya menjadi Pengerusi atau Ahli, kelulusan KSN adalah diperlukan.
Peraturan mengenai penggantian anggota LTT ini hendaklah mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 1995.