Breadcrumb Breadcrumb

SMSM SMSM

Pengenalan SMSM

  • Pada Januari 1997, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia telah mengadaptasi pengurusan elektronik dalam perkhidmatannya apabila sistem pengambilan berkomputer iaitu Sistem Mengambil Sepanjang Masa (SMSM) diperkenalkan. Sistem ini direkabentuk dan dibangunkan oleh Urus Setia Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dalam tahun 1995/96, dan dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara pada 21 Disember 1996. Dengan adanya SMSM, ia akan memastikan urusan pengambilan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Pendaftaran Permohonan

  • Pemohon boleh memohon jawatan dengan menggunakan Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i) melalui Portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Maklumat jawatan-jawatan yang ditawarkan boleh dirujuk melalui Portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia di bahagian 'Maklumat Jawatan (Gaji/Syarat Lantikan/Deskripsi Tugas)'. Pendaftaran permohonan boleh dibuat pada bila-bila masa dan akan sah laku untuk tempoh satu tahun. Pemohon tidak perlu menunggu iklan disiarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Iklan yang disiarkan melalui media hanya sebagai makluman tentang jawatan-jawatan yang ditawarkan.

    Melalui SMSM, semua permohonan yang lengkap akan didaftarkan di dalam Bank Data berkomputer Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Pemohon-pemohon diingatkan supaya mengisi borang dengan teliti dan memohon jawatan yang bertepatan dengan kelayakan yang diperolehi. Kesilapan mengisi borang menyebabkan calon-calon tidak akan didaftarkan.

Jawatan Yang Boleh Dipohon

  • Urusan pengambilan bagi tujuan pelantikan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia adalah bagi jawatan-jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk ijazah, diploma, Sijil Tinggi Persekolahan (STPM), STAM, SPM dan Sijil Kemahiran Malaysia/Sijil Politeknik/Sijil yang diiktiraf Kerajaan.

    Urusan pengambilan bagi jawatan-jawatan kelayakan SRP/PMR dan ke bawah telah diwakilkan kuasa oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian/Ketua Pengarah Jabatan berkenaan. Kementerian/Jabatan tersebut akan mengiklankan jawatan tersebut di dalam akhbar tempatan dari semasa ke semasa. Pemohon hendaklah berhubung terus dengan Kementerian/Jabatan berkenaan apabila iklan dikeluarkan.
    Pengambilan untuk mengikuti Latihan Separa Perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga diuruskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Walau bagaimanapun penempatan ke pusat-pusat latihan setelah calon berjaya menduduki temu duga akan diuruskan oleh KKM sendiri.

    Tempoh urusan pengambilan dilaksanakan.

    Pada umumnya tempoh proses urusan pengambilan adalah dua belas (12) minggu daripada tarikh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia menerima permohonan lengkap pengisian jawatan daripada Jabatan atau Kementerian bagi jawatan yang melibatkan tapisan dan 24 minggu bagi jawatan yang melibatkan urusan peperiksaan atau ujian bakat/fizikal. Permohonan jawatan dalam SMSM adalah melalui Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i) yang disediakan di Portal Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia www.spa.gov.my

Bilakah Ada Kekosongan Jawatan?

  • Berdasarkan peraturan sekarang, Kementerian/Jabatan dan Pentadbiran Negeri akan melaporkan kekosongan jawatan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia untuk membuat pengisian. Kementerian/Jabatan akan mengemukakan maklumat-maklumat mengenai kekosongan jawatan tersebut dan kriteria pemohon yang diperlukan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia akan memulakan urusan pengambilan dengan menyemak calon-calon yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Sebagai contoh sekiranya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia menerima permohonan daripada Kementerian/Jabatan pada 1 Oktober 2004, hanya calon-calon yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia sehingga tarikh tersebut sahaja akan dipertimbangkan.

    Satu proses tapisan akan dijalankan oleh Suruhanjaya untuk memanggil calon temu duga berdasarkan keperluan Kementerian/Jabatan. Peringkat tapisan untuk memanggil calon temu duga adalah peringkat yang kritikal dan rumit.

    Apabila jumlah kekosongan adalah sedikit berbanding permohonan biasanya asas tapisan yang digunakan adalah CGPA atau bidang pengajian/pengkhususan seseorang calon berdasarkan keperluan Kementerian/Jabatan.

    Bagi beberapa jawatan di mana jumlah permintaan adalah sentiasa tinggi biasanya tiada dikenakan tapisan ke atas calon. Bagi calon-calon yang mempunyai kelayakan dalam bidang berkaitan, peluang mereka adalah cerah untuk dipanggil temu duga.

Peperiksaan

  • Beberapa jawatan di mana syarat kelayakan adalah terbuka dan sesetengahnya memerlukan bakat tertentu, skim perkhidmatan mensyaratkan calon lulus peperiksaan khas yang ditadbir oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Terdapat beberapa skop ujian yang ditadbir iaitu kognitif, aptitud, bakat, sahsiah dan fizikal.

    Calon-calon yang lulus peperiksaan khas akan dipanggil temu duga. Bagi memasuki Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, calon-calon yang lulus peperiksaan disyaratkan lulus tapisan di 'Assesment Centre' sebelum dipanggil temu duga.

Temu Duga

  • Calon-calon yang berjaya melepasi asas tapisan akan dipanggil temu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Pusat temu duga yang ditetapkan oleh Suruhanjaya selain dari Kuala Lumpur ialah semua ibu negeri di Semenanjung dan juga beberapa pusat temu duga kecil serta ibu negeri di Sabah dan Sarawak. Calon-calon akan dipanggil temu duga seberapa boleh di pusat temu duga yang dipilih atau yang berhampiran. Bagi membantu Lembaga Temu Duga, Suruhanjaya biasanya akan menjemput wakil dari Kementerian/Jabatan bersama Suruhanjaya mengendalikan temu duga. Ahli Suruhanjaya yang menjadi penemu duga terdiri dari kalangan yang mempunyai pelbagai bidang kepakaran seperti Pentadbiran, Pakar Perubatan, Pergigian, Pendidikan, Ahli Sains, Kewangan dan sebagainya. Kesemua penemu duga adalah mahir dalam mengendalikan temu duga berdasarkan pengalaman mereka di sektor awam.

Peningkatan Secara Lantikan (PSL)

  • KEISTIMEWAAN CALON PENINGKATAN SECARA LANTIKAN

    Terdapat Pegawai Sedang Berkhidmat dan Peningkatan Secara Lantikan (PSL) yang layak dipertimbangkan untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi mengikut skim perkhidmatan masing-masing apabila memperolehi kelayakan akademik yang tinggi atau lulus Peperiksaan Khas. Keistimewaan bagi calon-calon PSL ialah sekiranya mereka layak mengikut skim perkhidmatan, mereka akan terus dipanggil temu duga tanpa dikenakan apa-apa tapisan. Walau bagaimanapun mereka perlu bersaing dengan calon lantikan terus iaitu perlantikan mereka akan mengikut prosedur dan peraturan yang sama dengan calon-calon lain kerana lantikan mereka bukanlah secara automatik.