Siri 3

Siri 3 - Tatacara Tindakan Bagi Kes Tidak Hadir Bertugas Secara Berterusan & Tidak Dapat Dikesan
line

 Pendahuluan
Tatacara tindakan bagi kes tidak hadir bertugas secara berterusan dan tidak dapat dikesan adalah diperuntukkan di bawah Peraturan 26, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

 Tindakan Ketua Jabatan
Jika seseorang pegawai tidak hadir bertugas tanpa cuti atau tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran atau tanpa sebab yang munasabah selama 7 hari bekerja berturut-turut dan tidak dapat dikesan, Ketua Jabatan hendaklah menyebabkan suatu surat diserahkan kepada pegawai itu sendiri atau dihantar melalui Pos Berdaftar Akuan Terima (AT) kepada pegawai di alamatnya yang akhir diketahui, mengarahkan pegawai itu supaya melaporkan diri untuk bertugas dengan segera.
Jika surat itu telah dapat diserahkan, Ketua Jabatan hendaklah sama ada pegawai itu telah hadir bertugas semula atau tidak, mengemukakannya suatu laporan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) untuk diambil tindakan tatatertib terhadap pegawai itu.
Jika surat itu tidak dapat diserah/surat AT dikembalikan tidak terserah,Ketua Jabatan hendaklah melaporkan perkara itu kepada PBT yang mempunyai bidang kuasa mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat ke atas pegawai itu.

 Tindakan Pihak Berkuasa Tatatertib
Bagi kes di mana surat telah dapat di-serahkan PBT selepas menerima laporan daripada Ketua Jabatan, hendaklah mengambil langkah/tindakan tatatertib mengikut tatacara tindakan tatatertib biasa.

Bagi kes di mana surat itu tidak dapat dise-rahkan/surat AT dikembalikan tidak terserah, PBT yang mempunyai bidang kuasa mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat ke atas pegawai itu selepas menerima laporan daripada Ketua Jabatan, hendaklah mengambil langkah untuk menyiarkan suatu notis dalam sekurang-kurangnya satu suratkhabar harian yang diterbitkan dalam bahasa kebangsaan dan mempunyai edaran di seluruh negara yang ditentukan oleh PBT, mengikut Peraturan 26(4),Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)1993. Notis akhbar tersebut hendaklah menyatakan:
a. hakikat bahawa pegawai itu telah tidak hadir bertugas dan tidak dapat dikesan; dan
b. mengkehendaki pegawai melaporkan diri untuk bertugas dalam masa 7 hari dari tarikh penyiaran notis itu.

 Tindakan Selepas Penyiaran Notis Di Akhbar
Jika pegawai melapor diri untuk bertugas dalam masa 7 hari dari tarikh penyiaran notis tersebut, Ketua Jabatan hendaklah melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) untuk diambil tindakan tatatertib terhadap pegawai itu mengikut tatacara tindakan tatatertib biasa.
Jika pegawai tidak melaporkan diri untuk bertugas dalam masa 7 hari dari tarikh penyiaran notis tersebut, pegawai hendaklah disifatkan sebagai telah dibuang kerja berkuatkuasa mulai tarikh dia tidak hadir bertugas. Seterusnya pembuangan kerja tersebut hendaklah diberitahu dalam Warta Kerajaan, mengikut Per-aturan 26(7), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993