Perutusan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Selamat Datang ke Portal Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA).

SPA merupakan sebuah badan bebas yang dipertanggungjawabkan dengan fungsi melantik, mengesahkan dalam perkhidmatan, memberi taraf berpencen, menaikkan pangkat, menukar dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota dalam perkhidmatan di bawah bidang kuasanya mengikut peruntukan Fasal (1) Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, SPA juga merupakan pihak berkuasa melantik bagi perkhidmatan awam Negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perlis.

SPA sentiasa bergerak ke depan demi mencapai matlamat dengan memperkasakan empat (4) teras strategik utama SPA iaitu:

  1. Pelantikan penjawat awam yang menepati keperluan dan cabaran semasa;
  2. Kaedah penilaian ke arah mendapatkan calon yang kompeten;
  3. Urusan perkhidmatan penjawat awam yang cekap dan teratur; dan
  4. Tadbir urus terbaik ke arah kecemerlangan organisasi.

SPA telah melaksanakan usaha pendigital secara konsisten ke arah mencapai pendigital sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Pendigital dapat memperkukuhkan ketelusan dan meningkatkan kecekapan serta menepati dasar kebangsaan mengenai IR 4.0 iaitu Industry4WRD.

Mulai Januari 2020, Portal SPA juga turut diberi pembaharuan dari segi penampilan dan kandungan selain masih berfokuskan ciri mesra pengguna. Portal ini menyediakan pelbagai urusan utama seperti;

  1. Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9)
  2. Maklumat penjawatan yang merangkumi gaji, syarat lantikan dan deskripsi tugas
  3. Maklumat / iklan kekosongan jawatan semasa
  4. Semakan Status Permohonan
  5. Semakan Urusan Perkhidmatan
  6. Sistem eSISPAA, MySTP dsb

Adalah diharapkan portal ini terus menerus menjadi sumber rujukan dan maklumat yang bermanfaat untuk diakses secara terus kepada pengguna selain menjadi ruang interaksi dan penghubung dalam menerangkan dasar-dasar berkaitan mahupun prosedur semasa secara telus kepada semua.

Semua pelawat portal ini turut dialu-alukan memberikan pandangan dan cadangan berhubung penambahbaikan perkhidmatan SPA seiring dengan usaha untuk meningkatkan mutu pencapaian perkhidmatan kami.

Terima kasih.

Setiausaha
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia