Siri 6

Siri 6 - Tatacara Tindakan Tatatertib Bagi Kes Perintah Tahanan Pengawasan Kediaman Terhad, Buang Negeri DSB
line

 Pendahuluan
Tatacara tindakan tatatertib bagi kes yang berbangkit daripada perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri dan sebagainya adalah diperuntukkan di bawah Peraturan 32 dan 33, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

 Prosedur Jika Terdapat Perintah Tahanan, Buang Negeri DSB.
Jika suatu perintah tahanan (tidak termasuk tahanan reman), pengawasan, kediaman terhad, buang negeri, deportasi atau apa-apa bentuk sekatan telah dibuat terhadap seseorang pegawai di bawah mana-mana undang-undang yang berhubung dengan keselamatan,pencegahan jenayah,imigresen atau perlindungan wanita dan gadis atau perlindungan kanak-kanak, Ketua Jabatan hendaklah mendapatkan suatu salinan perintah itu daripada pihak berkuasa yang berkenaan dan mengemukakannya kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) yang mempunyai bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman buang kerja atau turun pangkat, beserta rekod perkhidmatan pegawai dan perakuan mengenai tindakan/hukuman yang patut dikenakan ke atas pegawai, bergantung kepada takat keburukan yang telah dibawa oleh pegawai itu kepada perkhidmatan awam.
Setelah menimbangkan laporan tersebut PBT boleh menggantung pegawai daripada menjalankan tugas (GANTUNG KERJA) di bawah Peraturan 45(1)(b), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, berkuatkuasa dari tarikh kuatkuasa perintah itu. Seseorang pegawai yang digantung kerja tidak berhak menerima apa-apa bahagian emolumen sepanjang tempoh penggantungan kerja tersebut.

 Tindakan Tatatertib
Bagi tujuan mengambil tindakan tatatertib ke atas seseorang pegawai yang telah dikenakan perintah tahanan,pengawasan kediaman terhad, buang negeri dan sebagainya ini, pegawai tersebut tidak perlu dihadapkan dengan apa-apa surat pertuduhan atau diberi hak untuk didengar. Tindakan tatatertib bagi kes perintah tahanan ini juga tidak melibatkan tindakan bagi penentuan jenis kesalahan serta penentuan kes prima facie yang diperlukan bagi kes-kes tindakan tatatertib biasa.

 Pengecualian Daripada Hak Untuk Didengar
Bagi tujuan mengambil tindakan tatatertib ke atas seseorang pegawai yang telah dikenakan perintah tahanan,pengawasan kediaman terhad, buang negeri dan sebagainya ini, pegawai tersebut tidak perlu dihadapkan dengan apa-apa surat pertuduhan atau diberi hak untuk didengar. Tindakan tatatertib bagi kes perintah tahanan ini juga tidak melibatkan tindakan bagi penentuan jenis kesalahan serta penentuan kes prima facie yang diperlukan bagi kes-kes tindakan tatatertib biasa.

 Tindakan Tatatertib Dengan Tujuan Buang Kerja Atau Turun Pangkat [Peraturan 37]
Jika Pengerusi LTT yang rendah telah menentukan bahawa kesalahan yang diadukan itu adalah dari jenis yang patut dikenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat, Pengerusi LTT yang tinggi yang kepadanya kes itu dirujukkan hendaklah menimbang serta menentukan bahawa wujud suatu kes prima facie untuk mengambil tindakan tatatertib tersebut dan hendaklah mengarahkan supaya suatu pertuduhan dihadapkan kepada pegawai itu untuk membuat representasi pembelaan diri dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan surat pertuduhan itu.
Seterusnya LTT hendaklah menimbangkan representasi pegawai tersebut serta membuat keputusan/ hukuman ke atas pegawai.

 Keputusan Tatatertib
Keputusan/hukuman tatatertib hendaklah diberitahu kepada pegawai dan hendaklah terus dilaksanakan sewajarnya meskipun ada rayuan dibuat terhadap keputusan/ hukuman itu. Surat keputusan tersebut hendaklah mengandungi fakta yang tepat serta pernyataan mengenai apa-apa perintah yang berkaitan dan kenyataan bahawa pegawai telah memburukkan nama perkhidmatan awam. Surat keputusan juga hendaklah menyatakan peluang bagi membuat rayuan ke atas keputusan tersebut kepada Lembaga Rayuan Tatatertib Perkhidmatan Awam, dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat keputusan itu.

 Rekod Tatatertib
Semua rekod serta dokumen berkaitan tindakan tatatertib hendaklah dipelihara sewajarnya. Sesuatu keputusan tindakan tatatertib dan keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib hendaklah direkodkan dalam Buku Rekod Perkhidmatan pegawai dengan menyatakan butir-butir kesalahan yang dilakukan serta hukuman yang dikenakan.