Perutusan


DATUK ZOHARI BIN SAID
Setiausaha
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Selamat Datang ke Portal Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA).

Umum sudah mengetahui bahawa SPA merupakan sebuah badan bebas yang dipertanggungjawabkan dengan fungsi melantik, mengesahkan, memasukkan ke dalam perjawatan tetap atau berpencen, menaikkan pangkat, menukar dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota dalam perkhidmatan di bawah bidang kuasanya mengikut peruntukan Fasal (1) Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan.

Lanjutan itu, SPA sentiasa bergerak ke depan demi mencapai matlamat yang telah digariskan di bawah empat (4) teras strategik utama SPA iaitu:

  1. Memperkasa urusan perlantikan penjawat awam;
  2. Memperkasa kaedah penilaian ke arah mendapatkan calon yang kompeten;
  3. Memperkasa urusan perkhidmatan penjawat awam; dan
  4. Memperkasa tadbir urus ke arah kecemerlangan organisasi

Antara pembaharuan besar yang telah dijalankan SPA seiring dengan fungsi dan teras strategik yang digariskan ialah memperkenalkan ujian Public Service Entry Examination (PSEE) kepada semua pemohon pekerjaan. PSEE ini merupakan ujian aptitud yang dijalankan secara online sebagai saringan awal kepada pemohon pekerjaan yang merangkumi penilaian pengetahuan am, keupayaan dalam penyelesaian masalah dan ujian kefahaman Bahasa Inggeris.

Melalui PSEE ini, pemohon pekerjaan mendapat peluang sama rata dan adil melalui ujian penilaian yang dijalankan kerana SPA tidak lagi mengariskan pencapaian CGPA individu itu sebagai syarat utama dalam pemilihan.

Mulai Januari 2020, Portal SPA juga turut diberi pembaharuan dari segi wajah dan kandungan selain masih menitik beratkan ciri mesra pengguna. Portal ini menyediakan pelbagai urusan perkhidmatan penting seperti;

  1. Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i)
  2. Maklumat penjawatan ( merangkumi gaji, syarat lantikan dan deskripsi tugas)
  3. Maklumat / iklan kekosongan jawatan semasa
  4. Semakan Status Permohonan
  5. Semakan Urusan Perkhidmatan
  6. Sistem ePertanyaan dsb;

Adalah diharapkan portal ini terus menerus menjadi sumber rujukan dan maklumat yang bermanfaat untuk diakses secara terus kepada pengguna selain menjadi ruang interaksi dan penghubung dalam menerangkan dasar-dasar berkaitan mahupun isu-isu semasa secara telus kepada semua.

Semua pelawat portal ini turut dialu-alukan memberikan pandangan dan cadangan berhubung penambahbaikan perkhidmatan SPA seiring dengan usaha untuk meningkatkan mutu pencapaian perkhidmatan kami.

Terima kasih